KEBANYAKAN daripada kita pasti bersetuju bahawa hospital
adalah antara tempat yang tidak sesuai untuk bergurau atau berjenaka. Tempat
seumpamanya sudah banyak membawa khabar dan cerita pelik yang berbaur mistik.
Bukan untuk menakutkan sesiapa, tetapi fenomena yang mahu
diceritakan semula ini hanyalah untuk renungan bersama. Ia adalah peringatan
bahawa dalam dunia yang kita diami, bukan manusia sahaja yang mutlak mengisi dimensi
ruang dan waktu.
Terjadi di sebuah hospital yang terletak di sebelah
pantai barat negara ini, Diya sudah tiga minggu menemani tunangnya, Aziz, yang
terlantar akibat menjalani pembedahan membetulkan kedudukan tulang kaki yang
patah akibat kemalangan jalan raya.
Sering berada di hospital selepas waktu kerja, malah
biasa bermalam menemani kekasih hatinya itu, Diya secara tidak langsung sudah
mengenali ramai pesakit dan petugas di hospital itu.
"Hendak dijadikan cerita, pada hari pertama keempat
aku menjaga Aziz di hospital lebih kurang dalam pukul 11 malam di tingkat
tujuh, aku terjumpa seorang jururawat. Lengkap dengan pakaian seragam berwarna
putih di hadapan kaunter," Diya memulakan cerita.
Kata Diya, dia sangat mengenali jururawat itu. Namanya Yanie.
Sejak hari pertama Aziz di hospital, Yanie memang sering dalam syif. Jadi, pada
malam Diya terserempak dengan Yanie, mereka berbalas pandangan. Diya tersenyum
lalu menyapa dia.
"Syif malam lagi hari ni? Kerap juga nampak
awak...." Itu yang Diya ucapkan kepada Yanie yang hanya membalas dalam
tersipu-sipu; "Ya, kerja malam ni. Tiap-tiap malam saya nak kerja."
Jawapan itu sedikit pun tidak mencetuskan tanda tanya
dalam kepala Diya hinggalah dia akhirnya tertidur di sisi katil Aziz
kemudiannya.
Disapa terbit matahari pagi keesokannya, Diya dikejutkan
oleh bunyi kedatangan seseorang. 'Eh, Yanie masih berjaga?' Kata Diya dalam
hati. Pagi itu Yanie mengenakan uniform yang berbeza. Kemeja putih dan
berseluar hitam. Yanie datang untuk memeriksa peralatan rawatan dalam wad
tersebut.
"Awak tak balik lagi? Siap tukar uniform lagi,"
tanya Diya sambil menggosok mata malas paginya.
"Bila pula saya datang, kak? Saya baru masuk kerja
ni lepas dua hari cuti. Ni memang uniform saya. Saya hanya pembantu teknikal.
Bukan jururawat," jawabnya yang membuatkan Diya terlopong.
"Tapi malam tadi akak tegur awak. Kita jumpa depan
kaunter. Awak pakai uniform putih jururawat," Diya cuba meyakinkan apa
yang dilihat malam sebelumnya.
"Akak jangan main-main. Saya baru masuk kerja hari
ni. Saya bukan jururawatlah,'" Yanie memberitahu sambil sengih. Kemudian
dia tiba-tiba menutup mulut dengan tangan sementara dahinya berkerut.
Cepat-cepat dia menarik tangan Diya ke luar wad, sebelum perbualan didengari
Aziz yang masih lena.
"Akak, dengar saya cakap ni ya. Jangan beritahu
sesiapa, terutamanya tunang akak tu. Nanti dia takut tinggal keseorangan,"
kata Yanie seakan berbisik.
"Apa dia?" tanya Diya.
"Begini, tiga hari sebelum tunang akak masuk wad,
ada kes bunuh diri dalam hospital ni. Ada seorang wanita mati gantung diri
dalam bilik dia di tingkat sembilan. Dia tak dapat terima hakikat yang dia
disahkan berpenyakit dan tidak boleh hidup lama," terang Yanie dalam
sedikit menggeletar.
Sambung Yanie, semenjak itu ada saja orang yang menemukan
perkara pelik dalam hospital itu. Paling kerap adalah kes 'duplikasi'. Ramai
orang terkeliru dan terkejut bila ada jelmaan yang asyik menyerupai
petugas-petugas hospital.
Mendengarkan cerita Yanie, Diya terdiam. Terus terdiam
dan tidak mahu mengulas apa-apa selepas itu. Sepanjang hari dia berani dalam
takut. Berani kerana mahu menemani Aziz, takut kerana tidak mahu berjumpa
dengan staf hospital yang 'palsu' itu.
'Ah! Biarlah, dia tak kacau aku. Bukannya hantu jahat
pun!' Diya menenangkan hati sendiri.
Malam itu, Diya menggagahkan diri kerana mahu menemankan
Aziz yang tidak tahu apa-apa tentang kejadian itu. Waktu itu pukul 10.30 malam.
Sambil membaca majalah, Diya sesekali menjeling ke arah jururawat bernama
Hafizah yang memeriksa bengkak di kaki Aziz.
"Dia dah lena tidur. Awak pun tidur ya. Jangan
berjaga malam," ujar Hafizah yang hanya dibalas senyuman dan anggukan
perlahan Diya. Kemudian dia memeriksa pesakit di katil sebelah Aziz dan
meninggalkan wad.